Selasa, 5 Julai 2011

Solat sempurna benteng hindari kemungkaran


Oleh Muhammad AsyrafKeikhlasan menunaikan ibadah elak amalan ditolak


PENSYARIATAN solat kepada Rasulullah SAW pada peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj berbeza dengan konsep penerimaan wahyu menjelaskan kepada kita bahawa solat itu teras agung terhadap label seorang Muslim.
Bahkan dalam Islam, diserlahkan kekuatan solat itu sehingga diisytihar sebagai benteng kukuh yang mampu mencegah perbuatan maksiat. Malah, ia sering disebut sebagai jaminan pasti bagi kita dalam menolak perbuatan mungkar.
Tokoh ulama dari Tunisia, Syeikh Tahir Ibn A’syur, dalam kitabnya Maqasid al-Syariah, menyatakan bahawa setiap kefarduan yang diwajibkan ke atas setiap mukalaf, manfaatnya kembali kepada pelaksananya.

Justeru, dalam persoalan solat juga ada manfaat tersendiri. Allah berfirman yang bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45).

Ayat ini memberi kefahaman bahawa solat dapat menghindar perbuatan mungkar dan itulah yang kita fahami selama ini.

Namun realitinya, dari segi praktikal ramai yang tertanya-tanya kenapa masih lagi ada perbuatan mungkar dan maksiat sedangkan si pelaku seorang yang tidak meninggalkan solat. Bukankah kehidupan realiti ini menggambarkan seolah-olah ada percanggahan dengan yang dinyatakan dalam al-Quran.
Sebenarnya, maksud al-Quran itu langsung tidak bercanggah dengan realiti kehidupan manusia. Boleh jadi solat yang dilakukan kita tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki dalam menghindarkan diri daripada perbuatan mungkar.

Jadi tidak menghairankan apabila Nabi SAW meletakkan graf tertentu kepada pelaku solat. Baginda bersabda yang bermaksud: “Ada orang yang telah melaksanakan solat, tetapi ia hanya menerima sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, seperenam, seperlima, seperempat, sepertiga atau setengah pahala saja dari solatnya.” (Hadis hasan dari Ahmad, Abu Daud dan Ibn Hibban).

Solat bukan sekadar ibadah anggota badan saja tetapi ia adalah ibadah yang diteraskan dari hati sanubari seorang Muslim.

Disebabkan itu, Syeikh Muhammad Bayumi dalam kitabnya Akhta’ al-Musallin min Takbir ila Taslim menyatakan, orang yang hendak melakukan solat (iaitu sebelum solat) sudah semestinya ia tidak melakukan kejahatan dengan tangannya, tidak berkata kesat, tidak melihat yang diharamkan. Perbuatan hendak melakukan solat itu sendiri secara automatik membendung rasa inginkan kemungkaran.

Imam Ibn Kathir mensyaratkan tiga pokok asas solat iaitu, ikhlas, khasy-yah (takut) dan mengingati Allah. Ikhlas mengarah kita kepada perbuatan makruf, manakala khasy-yah (takut) pula menghalang daripada perbuatan mungkar.

Sebab itu, perbuatan solat secara zahirnya saja bukan penentu atau jaminan seseorang itu meninggalkan mungkar secara pasti. Walaupun ayat ini menyatakan demikian, namun ayat al-Quran perlu diteliti secara keseluruhan.

Boleh jadi solat dilakukan tanpa khusyuk, sambil lewa, malas bila mengerjakannya, solat dalam keadaan tergesa-gesa malah mungkin dilakukan semata-mata untuk berpura-pura dengan maksud riak.

Dalam al-Quran diceritakan bagaimana mungkin perbuatan mungkar mampu ditinggalkan secara pasti dengan melakukan solat semata-mata, sedangkan dalam ayat lain Allah menyatakan kemurkaan kepada orang yang solat.

Ibnu Abbas memberi gambaran yang dimaksudkan orang yang celaka ialah mereka mengerjakan solat ketika di hadapan banyak orang dan tidak mengerjakannya ketika ia dalam keadaan bersendirian.

Begitu juga mereka yang lalai mengerjakan solat pada waktu ditetapkan dan sengaja melewat-lewatkan solat adalah ciri golongan munafik.

Bukan semua solat yang dikerjakan menghindarkan dirinya daripada perbuatan mungkar kerana mereka yang solat juga ada yang berpura-pura dengan solatnya seperti Abdullah bin Ubai bin Salul sendiri pernah solat di belakang Baginda Rasulullah SAW.

Justeru, amalan solat berdasarkan hadis sahih mengikut tatacara solat Nabi perlu dipelajari supaya solat tidak ditolak Allah hanya kerana kejahilan memahami sunnah.

Pada masa sama, benteng untuk mencegah kemungkaran bukan sekadar pergerakan anggota zahir semata-mata tetapi berkait rapat dengan hati. Solat adalah ikatan batin antara manusia dengan Allah.

Andai manusia cukup beradab sopan dengan Allah bermula dari saat takbir hingga salam, pastinya latihan sebanyak lima kali sehari itu dapat membentuk jiwa yang beradab sopan dengan Allah sepanjang kehidupan kita.

Janganlah apabila kita melakukan maksiat, maka kita menyalahkan solat kerana tidak mampu menjadi benteng. Tetapi periksalah keadaan solat kita, adakah ia benar-benar solat yang dikehendaki oleh Allah.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis



http://rostinimajin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...