Selasa, 5 Julai 2011

Silap penjelasan punca hijab dipandang negatif


Hasliza Hassan

 ADA salah faham khususnya kalangan bukan Islam bahawa wanita Islam menutup aurat atau memakai hijab sebagai tanda taat kepada golongan lelaki dan tanggapan itu perlu diperbetulkan supaya isu berkaitan aurat dan hijab benar-benar difahami.


Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Haliza Siraj, berkata salah faham itu turut berpunca sikap wanita Islam sendiri yang memberi gambaran negatif mengenai kewajipan menutup aurat.
Disebabkan itu juga wujud tanggapan wanita Islam yang memakai hijab menjadi mangsa penindasan kononnya mereka terpaksa menutup aurat disebabkan oleh pihak lain bukan atas kerelaan hati.
Berdepan sendiri dengan situasi itu, beliau berkata bukan Islam tidak boleh dipersalahkan jika tindakan wanita Islam menyebabkan mereka mendapat gambaran salah mengenai pemakaian hijab atau tanggungjawab memelihara aurat.

“Semasa menghadiri persidangan di luar negara, ada rakan bukan Islam berkata kepada saya, Dr Harlina awak boleh buka hijab sekarang. Saya tanya kenapa, dia kata sebab ayah dan saudara lelaki awak tidak ada bersama dan mereka tidak akan tahu.

“Rupa-rupanya mereka pernah berdepan dengan wanita Islam bukan dari Malaysia yang sampai saja di luar negara terus membuka hijab. Apabila ditanya, katanya sekarang bapa dan saudara lelaki saya tidak ada dan mereka tidak nampak.

“Maka timbul tanggapan wanita Islam menutup aurat kerana golongan lelaki mereka. Saya terpaksa beritahu, saya memakai hijab kerana Allah dan tidak akan membukanya walaupun ayah atau saudara lelaki tidak bersama,” katanya.
Beliau berkongsi pengalaman itu bersama peserta forum ‘Bersama Menghayati Konsep Aurat dan Hijab anjuran Sri Munawwarah Design dan We Are Beautidul, Allah Loves Us,’ bagi menjelaskan kepentingan memperbetulkan tanggapan salah berkaitan hijab dan aurat.

Katanya, kecantikan terbahagi kepada dua iaitu kecantikan haiwaniah iaitu kecantikan fizikal dan insaniah, tujuan menutup aurat sebagai cara menyembunyikan kecantikan haiwaniah untuk menjelmakan kejelitaan insaniah bercirikan sopan dan santun.

Dr Harlina turut membangkitkan isu kenapa banyak konflik dihadapi wanita semata-mata untuk jadi cantik atau dipandang cantik sedangkan kecantikan itu pada mata yang memandang dan siapa yang memandang.

Justeru, katanya, definisi cantik tidak ditentukan oleh orang lain sebaliknya seseorang itu yang memutuskan dirinya cantik atau sebaliknya. Al-Quran sudah memberi panduan lengkap bagi wanita untuk memahami kedudukan mereka di sisi Allah termasuk dalam aspek kecantikan.

Beliau juga tidak membincangkan mengenai hukum menutup aurat kerana perkara itu sudah jelas tetapi menekankan bagaimana cara wanita menutup aurat atau memakai hijab bukan untuk orang lain membuat penilaian. Malah, mereka yang berjinak untuk berhijab perlu diberi sokongan.

Pada masa sama, beliau menjuruskan kecantikan kepada pengertian lebih utama untuk wanita memikirkannya kerana wanita perlu berbangga apabila Allah tidak menilai mereka berdasarkan paras rupa sebaliknya, semua manusia dilihat dari segi ketakwaan mereka.


http://rostinimajin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...