Adham (bukan nama sebenar), yang berusia sembilan tahun cuba menggantung dirinya selepas dimasukkan ke rumah anak yatim. Mujur tindakannya cepat disedari petugas di rumah berkenaan. Sebelum tindakan nekad itu, sudah tiga kali dia cuba melarikan diri tetapi belum sempat pergi jauh, dia ditemui dan dibawa semula ke rumah perlindungan berkenaan.
Hanya selepas beberapa kali didesak, barulah Adham bercerita. Dia sebenarnya rasa bersalah kerana tidak dapat menunaikan janji untuk menjaga dua adik perempuannya apabila ibu bapanya bercerai. Malah yang membuatkan Adham rasa lebih bersalah, tertekan dan menderita, dia tidak tahu di mana kedua-dua adik kesayangannya berada.
Katanya, ibu dan bapanya selalu bertengkar. Setiap kali bertengkar, bapanya menghentak kepala ibu ke dinding. Walaupun mereka bertengkar dalam bilik tetapi oleh kerana dinding pemisah bilik dibuat daripada papan lapis yang nipis, maka segala maki-hamun boleh didengar dengan jelas. Malah setiap kali bapanya marah, adik-adiknya juga akan dipukul sama.
Jalan terakhir untuk menamatkan pergaduhan yang tidak berkesudahan itu, ibu bapanya bercerai. Malangnya baik ibu atau bapa, tiada yang mahu memikul tanggungjawab menjaga anak dan inilah yang menyebabkan tiga beradik itu terpisah.
Adham tidak tahu ke mana hendak mengadu. Dia hilang kepercayaan pada orang dewasa. Apa yang menghantui fikiran Adham ialah rasa bersalah terhadap adik-adiknya kerana gagal mengotakan janji. Tekanan inilah yang menyebabkan dia nekad untuk membunuh diri.
KISAH benar yang diceritakan di atas hanyalah sebahagian kecil daripada penderitaan dialami anak-anak apabila rumah tangga porak peranda hingga berakhir dengan perceraian. Perasaan anak-anak akan jadi lebih pahit jika setiap hari mereka dihidangkan dengan perteng�karan, keganasan dan kata-kata kasar sebelum ibu bapa berpisah.
Perasaan anak adalah aspek yang sering diketepikan atau sengaja tidak diendahkan ibu bapa apabila bercerai dan berbalah merebut anak. Dalam keadaan genting ini, kebanyakan pasangan hanya memikirkan perasaan sendiri terutama rasa marah dan benci pada bekas pasangan yang kadangkala membuatkan mereka terlupa untuk menyelami resah hati si anak.
“Eh...penat saya mengandung sembilan bulan, bila bercerai takkan senang-senang hendak lepaskan anak pada orang, walaupun bekas suami sendiri. Saya yang mengandung dan melahirkannya. Saya tidak kira, saya tetap mahukan anak tinggal bersama saya,” kata Hanita (bukan nama sebenar) melepaskan geram tatkala bercerita kisah perebutan hak penjagaan dua anaknya dengan bekas suami yang sudah berlanjutan hampir setahun.
Perbalahan berebut hak penjagaan anak adalah perkara biasa di kalangan pasangan bercerai. Dalam perbalahan ini, ibu bapa sering mengabaikan perasaan anak kerana dalam fasa ini, satu-satunya konsep yang ada dalam fikiran mereka hanyalah ‘saya, saya dan saya’ dan tetap mahu anak tinggal bersamanya walaupun tahu anak rapat dengan bekas pasangan.
Malah bagi kes yang lebih ekstrem, ada ibu atau bapa meracuni fikiran anak supaya membenci bekas pasangan - dan semua ini dilakukan untuk menang dalam perebutan berkenaan tanpa menyedari anak menjadi mangsa kepada perasaan amarah anda. Bagi ibu bapa yang lebih nekad, mereka meminggirkan terus anak-anak daripada kehidupan mereka seperti yang berlaku pada Adham, tetapi kes sebegini mungkin tidak banyak berlaku.
Perunding Psikiatri Kanak-kanak Hospital Kuala Lumpur, Dr Fauzi Ismail berkata, kemarahan yang tidak dikawal kepada bekas pasangan seperti memukul, menampar, melakukan perbuatan ganas atau menggunakan perkataan kasar (menghina, mencaci atau memberikan gelaran tertentu) ketika bergaduh boleh menyebabkan penderaan psikologi pada anak.
“Anak akan berasa takut apabila mendengar ibu bapa bergaduh, apatah lagi jika mereka menggunakan bahasa yang kasar. Anak jadi keliru dan tertekan, malah
ada yang mengalami gangguan mental teruk (psikosis) dan perlu mengambil ubat sepanjang hayat.
“Saya pernah menerima kes kanak-kanak berumur 13 tahun mengalami psikosis akibat krisis rumah tangga yang tidak berkesudahan. Mungkin ramai ibu bapa tidak sedar, inilah hadiah terburuk yang anda berikan pada anak.
“Anak bukan harta perkahwinan untuk direbutkan. Walaupun mereka masih kecil tetapi anak-anak tahu pergolakan yang berlaku dalam rumah tangga anda. Sebab itulah ibu bapa perlu berhati-hati supaya tidak bertengkar di depan atau meninggikan suara sehingga didengar anak-anak kerana ia akan memberi kesan negatif kepada emosi dan psikologi mereka.
“Ada juga anak-anak yang sanggup mengorbankan �dirinya dengan melayani keinginan seksual bapa kerana mereka percaya jika berbuat demikian dapat menyelamatkan perkahwinan dan ‘memujuk’ ibu bapa tinggal bersama. Anak-anak kecil berasa merekalah yang bersalah sehingga menyebabkan ibu bapa mahu bercerai,” katanya dalam Forum Kanak-Kanak 2011 anjuran bersama Pertubuhan Kanak-kanak Bersatu Malaysia (Uncom) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Memang setiap pasangan yang berkahwin mengimpikan hidup bahagia hingga akhir hayat. Namun tidak semua impian ini tertunai apabila catatan kes perceraian meningkat saban tahun. Kadar perceraian di negara kita agak tinggi dengan purata satu kes cerai berlaku dalam setiap 15 minit.
Berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2007 didapati 32.2 peratus perceraian berlaku dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan dan kadar ini menurun kepada 27.7 peratus bagi tempoh perkahwinan antara enam hingga 10 tahun. Ini bererti tempoh 10 tahun pertama adalah paling kritikal kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan perceraian.
Daripada kajian itu, Jakim mengenal pasti 200 faktor perceraian yang dipecahkan kepada 10 kategori utama iaitu tidak bertanggungjawab, kurang didikan agama, campur tangan pihak ketiga, perbezaan budaya, masalah seksual, ekonomi, kerjaya, kesihatan, akhlak dan sosial serta komunikasi.
Banyak juga kes perceraian disebabkan faktor yang remeh-temeh seperti suami tidak beli makanan yang dipesan, balik lewat, terlupa masukkan gula dalam minuman, sikap kedekut dan berkira apabila membeli barang keperluan (termasuk susu anak), menggunakan bahasa kasar dan memanggil pasangan dengan nama memalukan, cemburu melihat pasangan masih menyimpan gambar atau barang pemberian bekas kekasih, campur tangan ibu bapa atau keluarga dan perlakuan seks yang tidak boleh diterima pasangan (ganas, kasar, lemah tenaga batin atau homoseksual iaitu berminat pada sama jantina).
Kesan perceraian dan perebutan hak penjagaan pada anak-anak.
Walaupun fikiran anda serabut dengan masalah rumah tangga dan diselubungi keinginan untuk bercerai, tetapi ibu bapa masih perlu cuba memahami perkembangan anak-anak.
Bagi anak berusia tiga hingga lima tahun, makna perceraian pada mereka adalah perpisahan fizikal yang bersifat sementara. Dalam usia ini anak-anak percaya bahawa merekalah yang menyebabkan perubahan perlakuan ibu bapa. Dari segi emosi dan perlakuan, mereka berasa takut, prestasi merosot, berasa kecewa dan bersalah.
Anak-anak yang berumur enam hingga 12 tahun sudah faham akan kesudahan perceraian dan kurang menyalahkan diri sendiri dengan perpisahan ibu bapa. Bagaimanapun, mereka tetap berasa seperti diketepikan, marah dengan ibu atau bapa yang tinggal bersamanya, merindui ibu atau bapa yang tidak tinggal bersamanya, berhadapan konflik sama ada mahu menyokong ibu atau bapa dan mungkin mengalami gejala kemurungan.
Dulu perceraian dianggap krisis jangka pendek tetapi kini ia dikenal pasti punca tekanan yang berterusan terutama pada perkembangan anak-anak termasuk kemahiran berkomunikasi. Kanak-kanak yang terpisah daripada ibu bapa didapati mengalami peningkatan kemurungan dan gejala pada enam hingga 10 peratus kes dianggap cukup serius sehingga memerlukan rawatan.
Oleh kerana biasanya hak penjagaan diberikan kepada ibu, kesan yang dialami kanak-kanak lelaki didapati lebih besar kerana mereka kehilangan tokoh bapa. Bagi anak perempuan yang tinggal bersama ibu pula akan sentiasa merindui kasih sayang ayahnya.
“Anak perempuan yang �dahagakan kasih sayang dan perhatian ayah akan cepat �‘menyerah’ jika dapat perhatian lelaki. Ketika ini mereka sudah tidak kira latar belakang lelaki berkenaan kerana apa yang penting mereka dapat kasih sayang yang dicari selama ini. Inilah yang berlaku pada kebanyakan anak gadis kita hari ini. Kita selalu label�kan mereka sebagai remaja bermasalah sedangkan masalah itu sebenarnya datang daripada ibu bapa,” kata Dr Fauzi.
Katanya, lebih 50 peratus pasangan yang berpisah terus menyimpan perasaan marah kepada bekas pasangan walaupun selepas bercerai. Kemarahan ini ada kemung�kinan disalurkan kepada anak (dengan mendera atau memukul mereka). Malah perasaan marah jugalah yang membuatkan pertikaian menuntut hak penjagaan anak berlanjutan beberapa bulan atau tahun.
Sering kali juga perbalahan tuntutan hak penjagaan ini dikaitkan dengan sikap kasar (anak menyaksikan ibu bapa bersikap kasar terhadap satu sama lain) dan anak-anak dipaksa memihak salah seorang ibu atau bapa dan menyingkirkan sebelah pihak lagi yang membuatkan mereka berasa serba salah.
“Apabila bercerai, ada banyak isu yang timbul seperti benci pada bekas pasangan, masih bergaduh walaupun sudah bercerai, pasangan berpindah, anak diracun supaya membenci bekas pasangan, tidak boleh tengok bekas pasangan atau pasangan baru bekas suami atau isteri mereka.
“Anak-anak pula terkejut, rasa tidak selamat, tidak mahu menerima hakikat ibu bapa sudah bercerai, marah, sedih, kecewa, cemburu, bersalah, benci, kasihan pada diri sendiri, rasa penolakan, geram dan diabaikan yang semuanya menjurus kepada kemusnahan diri sendiri,” katanya.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Datin Paduka Dr Zaleha �Kamaruddin, anak-anak akan menjadi mangsa apabila berlaku perceraian dan perebutan hak penjagaan anak. Bukan ibu bapa saja yang tertekan kerana anak-anak juga akan turut mengalami kesan perceraian dan dihantui pelbagai persoalan seperti:
Lebih membimbangkan jika anak-anak mengalami gangguan psikiatri seperti kebimbangan melampau (termasuklah gangguan kompulsif-obsesif - iaitu melakukan sesuatu perkara berulang kali kerana tidak yakin); kemuru�ngan dan psikosis (skizofrenia atau gangguan dwikutub - yang membuatkan emosi anak berubah-ubah).
Selain itu, tekanan yang dialami akibat perceraian ibu bapa turut dizahirkan dalam perlakuan. Anak-anak akan menunjukkan perlakuan buruk seperti ponteng sekolah, membuli, melanggar peraturan, menipu, mencuri atau terbabit dalam aktiviti rempit. Prestasi di sekolah merosot dan ada kecenderungan terbabit dengan rokok, dadah atau alkohol. Malah ramai anak daripada keluarga porak peranda yang terbabit dengan aktiviti seksual pada usia muda.
Perebutan hak penjagaan
Ketiadaan persefahaman dan tolak ansur menjadikan kes tuntutan hak penjagaan anak semakin rumit dan mungkin berpanjangan. Oleh kerana anak boleh pilih sama ada hendak tinggal bersama ibu atau ayah, maka pelbagai taktik digunakan untuk �mengumpan anak supaya menang dalam perbicaraan hak penjagaan di mahkamah kelak.
Ini termasuklah kerap membawa anak ke restoran makanan segera kegemarannya atau menawarkan wang ringgit sebagai pembiayaan persekolahan dan membeli pelbagai barang yang diingini supaya anak memihak kepadanya ketika perbicaraan di mahkamah.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa undang-undang Keluarga Malaysia, Lalitha Menon berkata, secara umumnya ada tiga kaedah yang digunakan ibu atau bapa untuk mempengaruhi fikiran anak iaitu:
Anak tidak dibenarkan melahirkan perasaannya terhadap ibu atau bapa yang terpisah. Contohnya jika tinggal bersama ibu, anak berhati-hati setiap kali bercakap supaya tidak menyebut nama bapa di hadapan ibu.
Perbicaraan tuntutan hak penjagaan anak di mahkamah juga sedikit sebanyak boleh mendatangkan trauma pada kanak-kanak. Keadaan setiap kanak-kanak berbeza mengikut umur dan kesengsaraan yang dialami sepanjang perbalahan sehingga membawa kepada perceraian.
Kajian mendapati perbalahan tuntutan hak penjagaan anak ini memberi kesan negatif pada perkembangan mental anak. Ada kanak-kanak yang menjadi pendiam atau hanya bercakap dengan orang tertentu saja.
Dr Zaleha berkata, dalam sistem perundangan negara kita, kanak-kanak tiada ruang untuk bersuara dan lebih menyedihkan, undang-undang yang membabitkan kanak-kanak tidak berubah sejak 35 tahun lalu.
Justeru sebab itulah ada banyak kes hak penjagaan anak diberikan kepada ibu atau bapa yang ‘kurang layak’. Namun ada satu yang perlu dipuji iaitu apabila konsep hak penjagaan bersama diperkenalkan kerana ia dilihat sebagai langkah terbaik untuk menjaga kebajikan anak-anak.
“Anak bukan penyebab perceraian, mereka tidak akan ada tanpa perkahwinan. Anak-anak terperangkap di tengah apabila ibu bapa bergaduh. Apabila bercerai, kita menceraikan atau membuang pasangan saja, bukan anak. Anak perlukan kedua-dua ibu dan bapa. Jadi ibu bapa kena capai persetujuan macam mana hendak hidup, hubungan dengan pihak yang satu lagi.
“Pasangan yang hendak bercerai hendaklah pertimbang�kan perasaan dan kebajikan anak. Mereka ada hak mendapat ‘ruang untuk diri sendiri’ dan rasa hormat daripada ibu bapa. Ibu bapa perlu dengar dan hormat pandangan mereka. Apabila ibu bapa bercerai, anak rasa tidak selamat dan kita tidak boleh anggap anak akan menjadi matang jika setiap hari mereka lihat ibu bapa bergaduh,” katanya.
Dalam perebutan ini, ibu bapa perlu sentiasa ingat bahawa:
“Jangan tunjuk pada anak kita benci bekas pasangan kerana dia adalah ibu atau bapa mereka,” katanya.
http://rostinimajin.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan